Penyokong BN sepakat nyanyi lagu ‘Terima Kasih kepada PAS’

SEKUMPULAN penyokong Barisan Nasional (BN) menyanyikan lagu ‘Terima Kasih kepada PAS’ ketika Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan melintas pulang di hadapan mereka di Bilik Gerakan BN, selepas pengumuman keputusan PRK Semenyih malam tadi.

Lagu tersebut sebagai tanda ucapan terima kasih berikutan usaha Pas yang banyak membantu BN sejak bermula PRK sehingga sekarang.

Ternyata, kerjasama kedua-dua parti mendapat sokongan besar majoriti umat Islam.

Dalam PRK Semenyih, BN menerusi gabungan UMNO-Pas berjaya merampas kerusi DUN selepas menang dengan majoriti 1,914 undi.

Calon BN, Zakaria Hanafi memperoleh sebanyak 19,780 undi sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali yang mendapat sebanyak 17,866 undi

Dua calon lagi iaitu dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul mendapat undi sebanyak 847 undi manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng pula sekadar memperoleh 725 undi.

‘Terima kasih kerana mengundi saya’ – Zakaria

HULU LANGAT- Calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi yang berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menghargai sokongan yang diberikan pengundi.

Jelas Zakaria, kebijaksaan pengundi telah membuatkan BN kembali merampas kerusi DUN Semenyih daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi wakil rakyat.

“Terima kasih juga atas kebijaksanaan pengundi yang memilih saya untuk mewakili anda semua,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman kemenangan BN di sini hari ini.

Zakaria yang memperoleh 19,780 undi dengan majoriti 1,914 undi menewaskan tiga calon lain iaitu calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan Kuan Chee Heng (725 undi). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *