“Kerjasama UMNO dan PAS sebenarnya cubaan asing kaum lain” – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Kerjasama politik yang sedang digembleng UMNO dan PAS seolah-olah cubaan untuk mengasingkan Melayu dan kaum lain, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata jika itu dilakukan ia tidak mendatangkan kebaikan kepada negara yang dihuni pelbagai kaum.

Katanya, PH juga memperjuangkan agenda dan kebajikan untuk Melayu, namun sama sekali tidak mengenepikan hak kaum lain.

“Kepentingan Melayu akan dijaga oleh Pakatan Harapan. Kita mahu memastikan bukan sama rata tetapi adil. Hubungan (sesama kaum) mesti adil dan saksama.

“Mereka cuba untuk mengasingkan Melayu dengan kaum lain. Ini sangat tidak baik kepada semua negara berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian pemberita selepas majlis perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal kedua Parlimen ke-14, di Bangunan Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir ditanya mengenai perkembangan kerjasama politik yang dijalinkan UMNO dan PAS menerusi agenda perpaduan ummah, yang dilihat mendapat perhatian banyak pihak termasuk pemimpin politik sendiri.

Dr Mahathir berkata, terserah kepada UMNO dan PAS untuk membentuk kerjasama termasuk pembentukan kerajaan campuran di empat negeri, kerana itu adalah hak mereka.

“Kalau dia mahu bersatu… dia bersatulah, dia mahu kahwin, kahwinlah… negara kita ini bebas,” katanya mengulas mengenai cadangan UMNO membentuk kerajaan campuran di Perlis, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Sumber : bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *