Ibu pelajar cemerlang Terengganu ini kongsi amalan untuk didik anak agar berjaya dunia dan akhirat

SIAPA yang tidak bahagia bila mana anak yang dikandung, diasuh dan dididik sejak kecil, cemerlang dalam berbagai bidang. Malah diangkat menjadi Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat negeri Terengganu pada tahun 2016 adalah satu perkara yang cukup membanggakan hati seorang ibu.

Bagi Hajah Dahliana Mohd Dagang dan suaminya, Hj Mohd Fauzi Ibrahim, kejayaan anak kedua mereka, Husna Mardhiyyah Mohd Fauzi yang dianugerahkan Pelajar Terbaik SPM Negeri Terengganu 2016 serta memperolehi 11A+ ini adalah satu pemberian dari Allah.

“Saya amat bersyukur kerana Allah makbulkan doa dan pengharapan saya untuk membawa satu lagi bukti kepada masyarakat bahawa pelajar yang menghafaz dan memartabatkan Al Quran, mempunyai peluang cerah untuk cemerlang dalam akademik,” luahnya di atas kejayaan Husna.

Tidak hanya Husna, malah kesemua adik-beradiknya yang lain turut sama cemerlang dalam pelajaran dan ilmu agama. Anak sulung kepada pasangan ini, Muhammad Shakir, telah khatam hafazan di usia 17 tahun, dan bakal melanjutkan pelajaran ke Australia pada Februari ini. Turut sama cemerlang dengan memperolehi 11A dalam SPM 2014.

Manakala anak ketiganya, Muhammad Nuruddin, merupakan peserta daurah pertama yang berjaya khatam hafazan 30 juzuk dalam masa kurang dari 4 bulan. Sarah Mursyidah, 14, pula merupakan pelajar tingkatan dua Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, Kedah. Sementara anak bongsu pasangan ini, Muhammad Luqmanul Hakim, 7, masih lagi bersekolah di Tahun 1, Sekolah Rendah Islam Al Maarif, Sungai Petani, Kedah.

Kongsi tips amalan didik anak sejak kecil

Kejayaan tak datang dalam sekelip mata pada tempoh yang singkat. Bagi pendidik ini, asuhan untuk kesemua anak-anaknya sudah bermula semenjak dalam kandungan. Ini yang dikongsikannya.

“Sebenarnya sebelum kahwin lagi kita kena niatkan nak bina baitul muslim, baitul mu’min dan baitul da’wah lillahi taala. Nak lahirkan generasi soleh dan solehah yang boleh menyampaikan Islam kepada yang lain. Seboleh-bolehnya pilih pasangan yang kita rasakan boleh saling lengkap melengkapi ke arah itu.

Baca surah Maryam, Luqman dan Yusuf sejak awal kehamilan

Amalkan juga tiga surah ini daripada awal kehamilan lagi iaitu Surah Maryam, Luqman dan Yusuf. Sentiasa berzikir dan baca Al Quran kepada anak-anak dari sejak lahir lagi.

Kalau tak sempat , pasanglah tape-tape mengaji. Permainan perlu berunsur pendidikan, kurangkan lagu-lagu dan hiburan yang sia-sia. Solat berjemaah amat penting supaya rahmat dan barokah lebih melimpah ruah.

Kami ibu bapa Husna tak mampu nak melengkapkan diri anak-anak dengan ilmu agama yang mendalam kerana kami bukan dari aliran agama. Saya bekas pelajar MRSM Kuala Terengganu; graduan TESL ITM/UKM manakala suami pula bekas pelajar MRSM Kulim dan berlulusan Professional Accounting dari UK.

Jadi Husna adik beradik kami hantar bersekolah rendah di Sekolah Rendah Al Islah; sebuah sekolah agama swasta yang menggunakan kurikulum MUSLEH, yang menekankan keseimbangan dari segi akademik, akhlak dan pemantapan rohani. Memang agak perit dari segi perbelanjaan bulanan tapi itulah namanya pengorbanan.

Jaga pemakanan, elak makanan syubhah

Bercerita soal pemilihan makanan, saya biasanya pastikan makanan yang halal dan baik, periksa dahulu bahannya untuk pastikan kandungan terjamin halal.

Pastikan membeli dari penjual yang menjaga syariat Islam misalnya penjual menutup aurat dengan sempurna.

Kalau makanan sunnah memang kami amalkan, cuma agak kurang berdisiplin tetapi Husna memang sentiasa dibekalkan dengan susu, kismis dan kurma setiap hari oleh pihak sekolah.

Selalu bawa anak-anak ke majlis-majlis ilmu dari kecil lagi. Sentiasa berpesan pada anak-anak supaya menjaga hubungan dengan Allah dan orang sekeliling.

Sentiasa tolong kawan-kawan dan baik pada guru-guru.

Jadi role model anak

Dalam mendidik anak, kita perlu jadi role model. Contoh kalau nak anak yang solat di awal waktu, kita sendiri kena istiqamah. Kita nak anak yang positif & mengamalkn segala sifat-sifat mahmudah, kita sediri kena terlebih dulu mengamalkannya.

Sentiasa niatkan segala apa yang kita lakukan sebagai ibadah, ikhlas kerana Allah. Makan pun ibadah jika niatnya untuk menguatkan diri bagi meningkatkan ibadah dan kita tidak makan makanan yang haram.

Apatah lagi usaha untuk mendidik dan membesarkan anak untuk melahirkan generasi yang berguna kepada aummah.

Paling penting kita sebagai ibubapa tunjukkan contoh yang baik dan perlu sentiasa doakan anak-anak dalam sujud terakhir solat.

Amal doa yang diajar Ustaz Kazim Elias

Saya amalkan doa yang dikongsi Ustaz Kazim Elias iaitu ayat 82 dalam Surah Yasin,” katanya berkongsi serba sedikit amalan yang dilakukannya pada anak-anak.

Bagi ibu ini, besar harapannya untuk melihat Husna dan adik beradiknya menjadi hafiz hafizah yang masyi dan mengamalkan ajaran Al Quran demi menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain; berbakti kepada ummah demi meraih kebahagiaan dunia dan akhirat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *