Cikgu muda ini berang selepas suaminya ditahan pihak imigresen

“APA hak encik tahan suami saya. Kami sudah bernikah hampir setahun,” kata seorang wanita tempatan yang tidak puas hati dengan tindakan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan suaminya yang juga seorang warga Pakistan, hari ini.

Bagaimanapun, tindakan guru wanita berusia 30-an itu ternyata sia-sia apabila dokumen dimiliki lelaki warga asing itu tidak mencatatkan statusnya yang sudah berkahwin sebagaimana didakwa wanita terbabit.

Menyedari kegagalannya mendaftarkan perkahwinannya dengan warga asing di JIM, wanita yang mengajar di Seberang Takir, Kuala Nerus itu terpaksa akur dengan tindakan menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.

Sebelum kejadian, sepasukan anggota dan pegawai JIM Terengganu diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Ahmad Salihin Salleh melakukan Ops Bersepadu (Jaja) di sekitar daerah Kuala Nerus.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, ketika pemeriksaan di sebuah kedai perabot di Jalan Gong Badak, Kuala Nerus, lelaki warga asing terbabit yang dipercayai menjalankan perniagaan menjual karpet dan toto sedang melakukan urusan jual beli di kedai berkenaan pada 10.30 pagi.

Katanya, ketika ditanya, lelaki terbabit yang ke kedai berkenaan dengan memandu Proton Iswara mendakwa membeli beberapa barangan dipesan isterinya termasuk toto dan tilam.

“Lelaki Pakistan terbabit mendakwa kononnya dia bersama isteri menjalankan perniagaan secara atas talian dan ke kedai berkenaan untuk membantu mengambil barangan dipesan pembeli kerana isterinya dikatakan sedang berada di sekolah.

“Lelaki terbabit ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di negeri ini.

“Dalam operasi bermula 10 pagi hingga 2 petang itu, kami memeriksa seramai 18 orang dan dua daripada mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

sumber : hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *