Bekas bendahari pelik Pas tak usik duit tabung

IPOH – Bekas Bendahari Pas Pusat, Asmuni Awi hari ini tampil mempersoalkan dana kewangan yang dibelanjakan Pas dalam program skala besar anjuran parti itu yang dakwanya tidak ‘mengusik’ duit daripada akaun milik parti berkenaan.

Asmuni yang kini Pengerusi Amanah Perak mendakwa, ada program-program yang dianjurkan Pas sejak 2015 menelan kos jutaan ringgit, tetapi tidak meminta bajet daripadanya selaku Bendahari Pas Pusat pada waktu itu.

“Penganjuran program bernilai jutaan ringgit, seperti Muktamar Pas 2015 atau Perhimpunan Agung parti Pas 2015 diadakan pada 4 hingga 6 Jun 2015 di Kuala Selangor, Nadwah Permerkasaan Du’at (Nekad), Himpunan Derita Rakyat (Hindar), dan Himpunan Harapan Semua (Harap) tidak pernah meminta sebarang pembiayaan daripada saya selaku bendahari Pas ketika itu.

“Malah ini tidak termasuk program di Sabah dan Sarawak yang tentunya memerlukan perbelanjaan lebih tinggi untuk kos penginapan dan tiket kapal terbang. Tapi yang peliknya tak ada satu pun penganjur program ini minta duit ataupun dana daripada saya sebagai bendahari,” katanya dalam video eksklusif yang dimuat naik di Facebooknya.

Menurut Asmuni, beliau sendiri curiga dan hairan dengan kemampuan Pas menganjurkan program berskala besar tanpa menggunakan dana parti.

“Saya pelik juga mana mereka ambil duit ini, program berjalan skala besar. Mana Pas ambil duit, itu saya risau.

“Begitu juga dalam Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa yang menelan kos sekitar RM2 juta, cuma pada saat akhir sahaja, Pengarah Program yang juga Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu dalam mesyuarat meminta wang pendahuluan daripada parti sebanyak RM70,000. Itu saya ada bagi,” katanya lagi.

Asmuni merupakan Bendahari Pas dari 2013 hingga 2015 dan beliau adalah antara pemimpin yang meninggalkan Pas untuk menyertai Amanah.

Terdahulu, pada 2016, laman sesawang Sarawak Report mendakwa pemimpin Pas mengambil RM90 juta daripada Umno dan kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat perkara tersebut.

Sumber : sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *