Sekolah rendah mungkin tak akan dibuka semula hingga tahun depan



FMT difahamkan penggantungan persekolahan mungkin berlarutan sehingga tahun depan bagi kebanyakan pelajar ketika Kementerian Pendidikan bersiap sedia mengumumkan garis panduan baru untuk membantu guru dan pelajar mematuhi langkah membendung penularan Covid-19.

Sumber yang dekat dengan perbincangan mengenai pembukaan semula sekolah di seluruh negara, berkata hanya pelajar sekolah menengah yang bakal mengambil peperiksaan penting mungkin kembali ke kelas.

“Rancangannya ialah menggantung persekolahan untuk sekolah rendah sehingga tahun depan,” kata sumber kepada FMT.

FMT tidak dapat mengesahkan perkara ini dengan pihak berkuasa berkaitan.

Tetapi, Menteri Pendidikan, Radzi Jidin memberi bayangan hanya pelajar Tingkatan 4 dan 6 di kira-kira 3,000 sekolah menengah seluruh negara akan terbabit dalam pembukaan semula sekolah.

Sekolah di negara ini yang ditutup untuk cuti sekolah penggal pertama pada 14 Mac lalu masih ditutup akibat perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

April lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan penangguhan 2 peperiksaan utama sekolah menengah, SPM dan STPM, serta UPSR darjah 6 dibatalkan.

SPM tahun ini – yang dianggap peperiksaan paling penting dalam alam persekolahan – akan diadakan pada suku pertama tahun depan.

Radzi berkata, garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah yang dihasilkan dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, akan diedarkan esok dengan, memperincikan cara mengawal pergerakan pelajar dalam kawasan sekolah untuk mematuhi peraturan penjarakan sosial.

“Kita keluarkan garis panduan ini bagi melihat apakah kaedah yang perlu dilakukan dalam konteks pembukaan sekolah dan persiapan sewajarnya harus dilakukan pihak sekolah bagi memastikan bila kita umumkan pembukaan, maka setiap sekolah telah bersedia.

“Kementerian sentiasa berbincang dengan pihak sekolah ruang yang boleh ditambah baik dalam garis panduan itu akan kita lakukan…apa yang penting semua pihak mainkan peranan, iaitu pengurusan sekolah, guru termasuk ibu bapa misalnya, jika anak bergejala tidak perlu hantar ke sekolah,” katanya kepada Bernama.

Radzi berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang menghantar anak mereka ke sekolah walaupun tarikh belum ditentukan.

“Apabila KKM dan MKN merasakan sudah sampai masanya sekolah dibuka, maka kita akan umumkan 2 minggu sebelum ia dibuka…kami belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembukaan sekolah.” -FMT

0 comments:

Post a Comment