Sanggupkah Anwar jadi timbalan perdana menteri?



Penyokong Gerakan PH++ sedang berusaha merealisasikan gabungan politik yang mengangkat Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalannya.

Sinchew Daily melaporkan, PH++ merupakan gabungan antara Pakatan Harapan (PH)  dengan wakil rakyat kem Dr. Mahathir, Warisan, UPKO, Parti Sarawak Bersatu, malahan mengintai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Walaupun sebelum ini Dr. Mahathir mempertimbangkan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai calon Timbalan Perdana Menteri, tetapi penyokong kerajaan PH cuba menyakinkan beliau mengenai kepentingan 39 kerusi yang dimiliki PKR jika mahu membentuk kerajaan.

Walau bagaimanapun, mesyuarat khas yang diadakan pemimpin tertinggi PKR pada Ahad telah menunjukkan pendirian bahawa parti itu menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri manakala isu Timbalan Perdana Menteri tidak dibangkitkan.

“Mesyuarat tidak berbincang bagaimana PH dan Dr. Mahathir dapat mengumpulkan jumlah wakil rakyat yang mencukupi bagi membentuk kerajaan. Isu sama ada Anwar sanggup menjadi Timbalan Perdana Menteri juga tidak dibincangkan.

“Majlis Pimpinan Pusat PKR sebaliknya menyokong sepenuhnya Anwar sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri,” kata sumber kepada Sinchew Daily.

Walaupun PKR telah menetapkan pendirian, tetapi parti itu masih terbuka kepada perbincangan dan sedia berunding dengan rakan-rakan PH.

“Masih boleh dibincangkan, kami tidak akan menutup pintu untuk perbincangan.

“Mesyuarat telah menetapkan untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dan kami juga memutuskan untuk menyerah kepada pemimpin parti bagi berbincang dengan parti lain,” kata sumber itu.

Sementara itu, Dr. Mahathir dilaporkan yakin untuk mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membentuk kerajaan PH++.

GPS dilaporkan perlu mempertimbangkan hubungannya dengan Pas dalam Perikatan Nasional kerana kerjasama dengan Pas mungkin menjejaskan prestasinya dalam pilihan raya negeri Sarawak pada tahun depan. – MalaysiaGazette

0 comments:

Post a Comment