Kemelut dalaman PPBM tak jejas pentadbiran PN, kata Tajuddin



Beliau berkata, pertembungan antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad - pengerusi Bersatu yang kini dipertikaikan - tidak menjejaskan kedudukan Muhyiddin dalam kerajaan.

"Tak ada masalah selagi Muhyiddin terus mendapat sokongan ahli Parlimen.

"Saya tak fikir Muhyiddin akan berdiam diri. Beliau akan melakukan sesuatu untuk pertahankan (diri), beliau perdana menteri dan ada banyak keupayaan untuk (mendapat) sokongan," katanya ketika ditemui selepas melawat depoh Transit Aliran Massa (MRT) di Sungai Buloh, petang tadi.


Pertembungan mereka berdua berlaku sekitar "Langkah Sheraton" apabila Mahathir tidak setuju dengan langkah Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH.

Pada 28 Mei lalu, menerusi surat yang ditandatangani setiausaha kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya, keanggotaan Mahathir dan beberapa lagi yang menyokongnya - Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - "dihentikan serta-merta" atas sebab duduk di blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Bagaimanapun mereka tidak menerima keputusan itu. Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata Muhyiddin dan enam lagi anggota Parlimen Bersatu telah melanggar etika parti dan perlu dihadapkan ke lembaga disiplin.

Dalam pada itu, Tajuddin yang baru dilantik sebagai pengerusi Kumpulan Prasarana mempertahankan pelantikan Pengerusi Umno Selangor Noh Omar sebagai pengerusi baru subsidiari Petronas, MISC Bhd, bagi menggantikan Ab Halim Mohyiddin.

Beliau berkata, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2009 hingga 2013 itu mempunyai pengalaman dalam dunia korporat dan juga kerajaan.

"Noh mempunyai pengalaman yang lama dalam kerajaan, pengalaman wakil rakyat dan juga pengerusi entiti kerajaan sebelum ini.

"Memang syarikat merupakan entiti perniagaan, bagaimanapun pengalaman dan pengetahuan juga penting, letak ahli politik yang tidak memiliki apa pengalaman ia tidak memenuhi.

"Saya adalah sikit-sikit pengalaman berniaga kecil-kecil, malas nak cakap besar, saya tak mahu masuk bakul angkat," kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu. - malaysiakini

0 comments:

Post a Comment